Monday, February 6, 2012

• SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SEKOLAH SK ISKANDAR PERDANA


Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana merupakan satu projek baru Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi peluang pendidikan kepada penduduk setempat. Kos pembinaan bernilai RM19,750,000.00 dengan keluasan tapak seluas 15.6 ekar. Kontraktor yang bertanggungjawab adalah Hajadi Sdn. Bhd. manakala arkiteknya pula adalah Halim Shahriman & Associates. Projek ini telah dimulakan pada 21 Januari 2009 dan siap pada 17 Mac 2010. Pihak kontraktor telah menyerahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelajaran Malaysia pada 4 Jun 2010.
Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana terletak di tengah Bandar Seri Iskandar. Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Julai 2010. Di sekitarnya terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Profesional Mara (KPM) dan Institut Latihan KEMAS. Selain daripada itu, terdapat beberapa buah sekolah rendah dan menengah berdekatan iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Iskandar, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah.

Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana terletak di kawasan taman perumahan dan bersebelahan dengan UiTM Seri Iskandar. Perjalanan dari Ipoh ke Bandar Seri Iskandar hanya mengambil masa selama 45 minit dengan jarak 45 kilometer. Sekolah ini mempunyai infrastruktur yang lengkap dan terkini. Mula beroperasi dengan 14 kelas dari Tahun Satu hingga Tahun Lima. Setiap kelas dinamakan mengikut nilai murni iaitu Amanah, Bestari dan Cemerlang.

Guru besar pertama yang mentadbir sekolah ini ialah En. Shahari b. Embon dengan dibantu oleh Penolong Kanan Pentadbiran; Pn. Hjh. Khairiah bt. Lahamad, Penolong Kanan HEM; Pn. Norsamsuniah bt. Musa dan Penolong Kanan Kokurikulum; En. Abdullah Radzi b. Abas. Jumlah guru yang dibekalkan untuk sesi pertama ini adalah seramai 34 orang manakala jumlah murid adalah seramai 527 orang. Kesemua bilik darjah dan bilik-bilik khas ini digunakan kecuali tiga buah kelas tahun Enam yang akan mula beroperasi pada tahun 2011. Dan pada tahun 2011 ini jumlah keseluruhan murid meningkat seramai 646 orang murid dan 50 orang murid Pra Sekolah. Jumlah guru juga meningkat seramai 43 orang dengan 2 orang pegawai kerani dan 2 orang pekerja am rendah yang ditempatkan di sini. Tahun 2011 ini juga pihak sekolah menerima kedatangan seorang guru cemerlang Kemahiran Hidup untuk membuka lembaran baru pada sekolah.

Sejarah Pusat Sumber Sekolah (PSS)


Pusat Sumber Sekolah adalah merupakan salah satu elemen terpenting dalam menjana pembangunan dan kemajuan akademik di sekolah-sekolah. Penubuhannya telah diusahakan semenjak sebelum negara merdeka lagi. Kepentingannya amat dirasakan sehingga beberapa proses penambah baikkan baik dari segi pengurusan dan fizikalnya sentiasa berkembang dari masa ke semasa.
Sekitar tahun 1950an beberapa buah sekolah di bawah pentadbiran Inggeris telah mula mewujudkan perpustakaan sekolah. Namun usaha itu tidaklah begitu diutamakan malah tidak mempunyai objektif yang jelas dalam membantu pembangunan pendidikan semasa lebih-lebih lagi tiada mempunyai kakitangan yang terlatih dalam pengurusan sumber pada ketika itu. Projek ini telah menemui kegagalan. Pada tahun 1962, Persatuan Persekutuan Tanah Melayu menggariskan standard minimum bagi perpustakaan di Malaya. Antaranya:
1. Semua bahan ditempatkan di sebuah bilik khas.
2. Memberi kursus /latihan kepada guru perpustakaan selama setahun.
3. Nisbah purata koleksi buku dan pelajar ialah 10 judul bagi 1 pelajar.
4. Melanggan 1 atau 3 jenis akhbar.
Pada tahun 1964, Kementerian Pelajaran menerbitkan manual Perpustakaan Sekolah (“School Library Manual”) yang disediakan oleh Margeret Walker. Pada tahun 1965, TV Pendidikan telah memulakan satu program perintis bagi Sains Am yang diterbitkan di bawah Kementerian Penerangan bersama Kementerian Pelajaran. Setahun kemudian telah dilancarkan projek yang ke dua yang melibatkan bidang Biologi (Kajihayat).
Pada tahun 1967 Perpustakaan Sekolah telah diletakkan di bawah pengurusan Buku Teks di Kementerian Pendidikan. Kemudian sehingga tahun 1974 pengurusan perpustakaan sekolah diserahkan pula kepada Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah, Pengurusan Sekolah Kementerian Pelajaran.
Pada 1 Mac 1983, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah menggunakan istilah Pusat Sumber Sekolah (PSS) bagi menggantikan istilah Perpustakaan Sekolah. Pusat Sumber Sekolah dapat memberi gambaran yang lebih tepat kerana PSS mempunyai koleksi bahan cetak dan bahan bukan cetak.
Pada tahun 1983 juga Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) – kini Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), telah ditubuhkan. Peringkat awal, hanya empat negeri sahaja yang terpilih untuk menubuhkan PSPN iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Bagi negeri-negeri yang tiada mempunyai PSPN, Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan peranan yang sama. Sehinggalah tahun 1997 semua negeri telah mempunyai PSPN mereka sendiri.
Kini, semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mempunyai PSS dan dikawal selia oleh BTPN masing-masing.

PSS SKIP 2012